Ikut Hati Mati ...

 Assalamualaikum,

Sebelum saya pergi jauh dengan tajuk 'hati' ini, saya kongsi link yang menerangkan secara ilmiah maksud hati dan kaitannya dengan akal. Sementelah lagi, bukanlah niat saya bercerita tentang hati yang fizikal atau organ hati yang berada dalam relung dada kita ini tetapi sifatnya yang berkaitan dengan rasa. Apapun ini link tersebut http://www.islamquest.net/ms/archive/question/fa937

Hati pada saya semulajadi mencintai kebaikan. Maka kita mencari kebenaran. Dengan segala rasa dan bahas dengan akal dan pengetahuan serta pengalaman, kita akan memilih jalan hidup. Sebagai orang islam, iman adalah pengakuan hati. Pengakuan cinta kita kepada kebaikan, kebenaran dan kesedaran yang membawa kepada kita mengakui bahawa Allah adalah tuhan yang esa yang berhak disembah. Maka, inilah jalan hidup kita. Sama ada sebagai muslim yang baik atau sebaliknya. Mengapa saya katakan sebaliknya? kerana dalam hati juga bersarangnya nafsu dan kecenderungan naluri sama ada terdidik atau tidak dengan iltizam dan hidayah tuhan kepadanya. Maka berjalanlah kita di muka bumi tuhan ini dengan kedudukan hati ini. 

Ini pandangan saya.Yang menjadi titik tolak corak hidup seseorang bernama 'aku'.

Kita juga sering mendengar laungan "Aku punya hati dan perasaan". Hati dan perasaan perlu dijaga dengan baik. Penjaga terbaik tak lain tak bukan adalah diri empunya hati itu sendiri. Persiapan menjaga hati bukanlah perkara yang mudah. Pengakuan hati hendaklah disertakan dengan amal yang membuktikan setiap lafaz dari hati itu. Seterusnya, prinsip hidup pun berjalan dan hendaklah diaplikasikan. Contohnya "amal tanpa ilmu binasa, ilmu tanpa amal sia sia" dan kita bolehh cross refer kepada pepatah melayu "ikut hati mati, ikut rasa binasa". Saya silang rujuk dua prinsip agama dan pepatah melayu ini kerana semasa menjalani kehidupan ini perlu beramal dengan ikhlas dan ada ilmu jika tidak amalan itu ke laut dalam entah apa tujuan tanpa petunjuk boleh menjadi sesat barat. Dengan itu juga, tak boleh ikutkan hati dalam menghadapi masalah dan jangan ikut perasaan keterlaluan. Kata mudah, kena ingat Tuhan!

Saya akhiri soal hati dalam blog ini dengan hadis nabi saw yang famous tu :

“Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” [Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)]







Comments

Popular posts from this blog

Yahudi dan Jiwa-Jiwa Yang Merdeka

Sepi Tanpa Cinta?

Bakar Air Hendakkan Abu: Menari dengan siapa?